Sunday, February 21, 2010

Pelajar diwajib bersukan 2011

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai sekurang-kurangnya satu acara sukan mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan mereka dalam kegiatan sukan itu akan diambil kira, termasuk diberi kredit atau markah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menerapkan nilai sukan di sekolah, sekali gus mengembalikan kecemerlangan sukan dan melahirkan lebih ramai bakal atlit sukan negara.
“Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa sementara bagi memperincikan perkara ini, termasuk pemberian pemarkahan dan kredit kepada pelajar yang cergas dalam sukan.

“Kalau pelajar cergas dan aktif dalam sukan dia ada markah dan kredit... kalau tidak nanti ibu bapa bertanya nak buat apa sukan baik pergi kelas tuisyen sebab nak dapat A (dalam peperiksaan). Jadi sukan tidak penting dan ini bagi saya satu pendekatan yang kurang tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya pada sidang media selepas menutup rasmi Konvensyen Umno Pahang 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Adnan Yaakob.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan menggariskan lima unsur penting bagi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah, termasuk mengarahkan Bahagian Seni, Kokurikulum dan Sukan di kementeriannya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.

Katanya, kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar, menambah bilangan guru terlatih dalam bidang sukan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur sukan di sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak semata-mata diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

“Aktiviti sukan sebelum ini kurang diberi perhatian sewajarnya sedangkan untuk membangunkan atlit kebangsaan bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah sampai universiti dan biasanya kemudian barulah kita ambil bakal atlit negara,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta kementerian mendapatkan pandangan pakar Majlis Sukan Negara (MSN), bekas jurulatih atau atlit kebangsaan dan guru sukan bagi merombak semula kurikulum sukan sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata pengetahuan dan kepakaran golongan ini dalam bidang kesukanan perlu diambil kira jika kementerian serius hendak mengembalikan kegemilangan sukan di peringkat sekolah.



“Kementerian perlu panggil golongan ini kerana mereka adalah kumpulan pakar yang sesuai untuk merangka dan merombak semula kurikulum sukan sekolah kerana mereka mempunyai ilmu, pengetahuan serta pengalaman dalam bidang kesukanan,” katanya.

No comments:

Post a Comment