Sunday, February 21, 2010

Pelajar diwajib bersukan 2011

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai sekurang-kurangnya satu acara sukan mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan mereka dalam kegiatan sukan itu akan diambil kira, termasuk diberi kredit atau markah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menerapkan nilai sukan di sekolah, sekali gus mengembalikan kecemerlangan sukan dan melahirkan lebih ramai bakal atlit sukan negara.
“Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa sementara bagi memperincikan perkara ini, termasuk pemberian pemarkahan dan kredit kepada pelajar yang cergas dalam sukan.

“Kalau pelajar cergas dan aktif dalam sukan dia ada markah dan kredit... kalau tidak nanti ibu bapa bertanya nak buat apa sukan baik pergi kelas tuisyen sebab nak dapat A (dalam peperiksaan). Jadi sukan tidak penting dan ini bagi saya satu pendekatan yang kurang tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya pada sidang media selepas menutup rasmi Konvensyen Umno Pahang 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Adnan Yaakob.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan menggariskan lima unsur penting bagi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah, termasuk mengarahkan Bahagian Seni, Kokurikulum dan Sukan di kementeriannya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.

Katanya, kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar, menambah bilangan guru terlatih dalam bidang sukan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur sukan di sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak semata-mata diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

“Aktiviti sukan sebelum ini kurang diberi perhatian sewajarnya sedangkan untuk membangunkan atlit kebangsaan bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah sampai universiti dan biasanya kemudian barulah kita ambil bakal atlit negara,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta kementerian mendapatkan pandangan pakar Majlis Sukan Negara (MSN), bekas jurulatih atau atlit kebangsaan dan guru sukan bagi merombak semula kurikulum sukan sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata pengetahuan dan kepakaran golongan ini dalam bidang kesukanan perlu diambil kira jika kementerian serius hendak mengembalikan kegemilangan sukan di peringkat sekolah.



“Kementerian perlu panggil golongan ini kerana mereka adalah kumpulan pakar yang sesuai untuk merangka dan merombak semula kurikulum sukan sekolah kerana mereka mempunyai ilmu, pengetahuan serta pengalaman dalam bidang kesukanan,” katanya.

Tuesday, February 16, 2010

Senarai 10 Individu Terkaya Di Malaysia

1) Tan Sri Robert Kuok Hock Nien (Kerry Group/Kuok Group) RM42.76 bilion

2) Tan Sri T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) RM27b

3) Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) RM11.92b

4) Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) RM10.86b

5) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) RM10.38b

6) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) RM7.09b

7) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (Al-Bukhary Foundation) RM6.01b

8) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) RM4.4b

9) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau) RM3.5b

10) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group) RM3.2b



lpas ni aku bakan muncul individu terkaya la jgak... mudah2an..

Monday, February 15, 2010

Jabatan Pelajaran digalak anjur kegiatan di sekolah

http://www.bharian.com.my/Tuesday/Nasional/20100216000254/Article/index_html

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mahu semua jabatan pelajaran negeri dan daerah menganjurkan kursus dan aktiviti mereka di premis sendiri berbanding di hotel seperti sebelum ini sebagai langkah penjimatan dan pengurusan kewangan berhemah.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yakin langkah itu tidak akan menjejaskan kursus dan aktiviti yang dijalankan kerana banyak sekolah sudah mempunyai kemudahan terutama dewan yang lengkap dengan pendingin hawa.

“Saya sendiri menggunakan dewan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NRKA), minggu lalu.


“Jadi, saya yakin penggunaan premis sendiri berbanding hotel tidak akan menjejaskan kursus dan aktiviti dijalankan, selain tidak akan menjejaskan usaha kita meningkatkan dan memartabatkan taraf profesionalisme guru,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun langkah itu bukan bermakna Kementerian Pelajaran melarang terus penganjuran kursus dan aktiviti di hotel kerana dewan sekolah mampu menampung bilangan peserta yang ramai sehingga 500 orang.

“Jika peserta ramai, mereka boleh mempertimbangkan menganjurkan kursus dan aktiviti itu di hotel,” katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan ganjaran yang akan diperoleh guru besar dan

pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan tidak lama lagi.

Buang bayi: Sistem pendidikan, sosial negara lemah

Nazri Abdullah
SHAH ALAM, 15 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berpendapat kelemahan dalam sistem pendidikan dan sistem sosial antara faktor besar menyumbang kepada peningkatan jenayah buang bayi di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kedua-dua sistem tersebut agar masalah ini dapat dibendung secepat mungkin.

"Saya berpendapat ia disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sistem sosial Malaysia.

"Saya menyeru kepada kementerian kebajikan agar mengambil langkah proaktif mengkaji secara berkesan bagi menangani masalah ini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gejala pembuangan bayi yang semakain berleluasa berlaku dalam negara.

Sehubungan itu, beliau juga memaklumkan bahawa Selangor sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kementerian dalam usaha menangani permasalahan yang semakin berleluasa itu.

Minggu lalu sahaja empat kes buang bayi dilaporkan berlaku.

Terbaru membabitkan seorang bayi lelaki yang dibuang dan dibakar dalam sebuah tong sampah di sebuah lorong Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai.

Bayi malang seberat kira-kira dua kilogram ditemui dua petugas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dengan keadaan separuh badannya hangus dan kaki bercerai dari badan.